Mana Nak Cari Duit Jika Anda Diberhentikan Kerja Dalam Tempoh 30 hari

      Comments Off on Mana Nak Cari Duit Jika Anda Diberhentikan Kerja Dalam Tempoh 30 hari
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Bagi mereka yang bekerja makan gaji, cerita yang paling seram dan lebih saspen dari tengok cerita hantu ialah bila dapat berita mereka akan diberhentikan kerja. Lebih tragis lagi, kalau notisnya dalam tempoh 30 hari.

Pedih woi.. ulu hati dengar kawan-kawan yang terkena tempias kemelesetan ekonomi bila mereka terpaksa cari kerja baru akibat syarikat tempat mereka bekerja terpaksa mengurangkan bilangan kakitangan untuk fokus pada bahagian tertentu sahaja.

Bukan setakat syarikat MNC, Oil-and-Gas, perbankan, automotif dan sebagainya yang terkesan dengan masalah ni, malah syarikat GLC juga lambat laun akan terkena bahangnya kalau ekonomi kita ni lambat pulih.

Sebab tu sekarang ni banyak syarikat sedang cuba untuk kurangkan kos, tingkatkan produktiviti dan teroka pasaran baru agar mereka dapat bertahan selama yang mampu.

Bagi syarikat yang ada sediakan pakej “perpisahan” yang bagus untuk kakitangan, staff akan dioffer Voluntary Separation Scheme (VSS) atau pun CSS (compulsory). Setidak-tidaknya, apabila pekerja mereka dapat pampasan duit segedebuk tu, mereka dapat buat modal untuk berniaga, atau pun untuk bertahan beberapa ketika sementara mendapat kerja baru.

Sebaliknya, bagi pekerja yang tak dapat sebarang pampasan dan notis pemberhentian diberikan dalam tempoh 30 hari, bayangkan betapa serabutnya kepala otak mereka nak fikir mana nak cari kerja dan macam mana nak survive hidup selepas ni. Tambah pulak yang ada anak-anak yang masih kecik dan pasangan mereka pulak tidak bekerja tetap. Menangis tak keluar air mata yop.

Untuk kurangkan serabut kepala mereka, apa kata kita pakat senaraikan apa yang rakan-rakan kita tu boleh lakukan sementara mereka dapat peluang dan rezeki lebih baik.

you-are-fired

Pertama: Kira Kos Perbelanjaan Harian

Penting untuk kita tahu, berapa jumlah duit yang kita perlu ada ditangan setiap hari. Masa kita ada gaji bulanan, kita jarang ambik kisah berapa kos sebenar sehari yang perlu kita cari. Memang kita masih perlu campurkan semuanya untuk jadi kos bulanan termasuklah jumlah wang yang diperlukan untuk membayar ansuran pinjaman perumahan, kereta, personal loan, hutang kad kredit, hutang kawan-kawan dan macam-macam liabiliti yang kita tanggung setiap bulan.

Susun kesemua kos harian tersebut dan buat ranking 1,2 dan 3. Ranking 1 untuk kos wajib (contoh – makan, tambang, wang saku, bayar hutang). Ranking 2 untuk kos kurang mustahak (contoh – beli baju baru, makan tempat best, jalan-jalan). Ranking 3 untuk kos yang langsung tidak perlu (contoh – beli rokok, belanja gelpren…okla..belanja cikedis je boleh, tukar handphone baru, tukar spek mata baru, dll).

Jumlahkan berapa kos untuk list ranking 1, 2 dan 3 tadi dan letak dulu kat tepi. Sekarang kita dah ready untuk fikirkan apa yang patut kita buat untuk cari duit dengan cepat.


Kedua: Senaraikan Apa Kemahiran Kita atau Bakat Yang Kita Ada

Nak tahu apa yang kita terer, tak susah, tanya pasangan kita, ahli keluarga, atau kawan-kawan yang rapat dengan kita. Mereka ibarat cermin kepada kita. Kita ni kadang-kadang selama kita hidup, tak perasan pun apa yang kita hebat. Tanya lah orang yang ada sekeliling kita, in case kita takde idea apa benda yang kita mahir.

Jangan hadkan kepada bakat atau kemahiran di tempat kerja lama kita sahaja. Cari dan kenalpasti bakat-bakat tersembunyi termasuklah jika kita ada bakat seperti memasak cekodoq express, mengikis dinding dengan licin, menyapu lantai tanpa menggunakan penyapu dan macam-macam bakat lain yang dengar macam merapu tapi sebenarnya ada nilai komersil.

Jangan ingat bila cakap pasal bakat, asyik-asyik menyanyi.

Objektif kita listkan semua bakat kita sebab inilah satu-satunya “modal” yang tak melibatkan duit. Modal tu adalah diri kita sendiri. Nanti kita akan gunakan bakat ni untuk buat duit. Bila dah dapat duit, secara automatik kita akan lebih bermotivasi untuk kembangkan lagi bakat kita tu.

Ketiga: Tukar Bakat-Bakat Yang Kita Ada Kepada Perkhidmatan Yang Boleh DiJual

Teringat kisah masa aku temankan wife sambung belajar di UK tahun 2002 dulu, aku kena apply cuti tanpa gaji. Wife hanya dapat elaun belajar dan sara hidup untuk diri dia sorang je. Nak taknak, aku kena cari kerja kat sana.

Dengan tak pernah ada experience hidup negara orang, ingatkan senangler nak cari kerja pakai resume dan kelayakan kita. 3 bulan jugak aku cuba cari kerja dengan jaja resume ke sana ke mari, satu pun tak dapat. Duit simpanan yang aku bawak pun dah nak kering, last-last aku apply kerja yang majoriti orang Malaysia yang ikut bini atau ikut laki pegi belajar di UK buat. Jadi part time cleaner!, aku cuci jamban mat saleh yop!. Nama best yang kitorang bagi untuk profesion pencuci jamban tu ialah “domestic engineer” hehehe..

Waktu tu, memang keje kais pagi makan pagi. Tak kira dah malu ke hape, janji dapat duit. Alhamdulillah, berkat sabar dan rajin, aku “naik pangkat” jadi supervisor hehehe.. siap boleh offer job dekat Malaysian yang lain dan student-student yang nak buat part time. Orang Malaysia ni bagus, rajin dan komited. Tu pasal mat saleh suka.

So bakat kita yang kita tak perasan selama ni ialah – kita ni rajin, kita sanggup berkorban bila ada cabaran, kita nak berusaha bila peluang dah nampak tipis dan kita sangat komited bila diberi tanggungjawab. Cuba fikir dalam-dalam, kat luar sana apa benda yang orang perlukan tapi tak ramai yang sanggup buat. Jangan malu untuk buat benda-benda yang nampak macam kerja hina. Janji halal, buat je dulu.

Keempat: Ambil Upah Jual Produk Orang Lain

Sekarang ni, berbekalkan handphone, Internet dan sedikit ilmu marketing, kita boleh jadi ejen jual barang orang lain. Cuba search di google, facebook dan instagram “dropship agent malaysia”. Bersepah korang akan jumpa pembekal-pembekal barangan yang nak cari ejen dropshipper untuk jual barangan mereka. Memang ramai ejen lain yang akan jual produk yang sama, tapi market ibarat lautan, sapa pandai berenang dia akan survive. Sapa yang pandai cari kelainan dan faham apa kehendak potential customer, dia akan menang.

Kelima: Buat Kerja Part Time

Kalau ada kereta yang masih elok, registerkan kereta korang tu dengan UBER. Apa benda tu UBER?, pegi Google dan kat situ korang akan faham apa yang kita boleh buat dengan kereta kita. Tak perlu ada lesen teksi. Tak perlu sewa teksi orang lain. Kereta pandu sendiri, kita serve customer kita sendiri dan UBER akan manage yang lain.

Abang ipar aku dulu, pernah buat kerja part time hantar pizza masa dia masih bekerja dengan gomen. Maklumlah gaji dia kecik, anak-anak ramai. Dia terpaksa korbankan masa dan waktu rehat lepas balik kerja dengan berkejar-kejar hantar pizza. Sedih beb tengok semangat dia masa tu. Alhamdulillah, hari ni dia dah ada business kedai makan dia sendiri. Dah pencen awal.

Aku rasa, yang selebihnya tu, korang boleh tokok-tambahlah sendiri. Pokok pangkalnya, bila keadaan terdesak, jangan panik. Plan betul-betul, fikir semua options yang ada, jangan membazir tak tentu pasal, jangan gaduh-gaduh laki bini, kena kuat solat dan berdoa, rezeki kita Allah yang bagi, so kita mintaklah sungguh-sungguh supaya Allah bagi rezeki dekat kita.

Insya-Allah yop, aku doakan agar sahabat-sahabat kita yang kena buang kerja tu gigih berusaha dan dapat cari jalan keluar untuk mencari sesuap nasik (adoiii… aku paham situasi ni sebab aku penah lalui). Semua ni sementara kita hidup dekat dunia je, yang abadi akhirat, so jangan pening-pening sangat. Make sure apa saja yang korang nak buat, halal dan berkat.

Terima Kasih