Was-Was

      Comments Off on Was-Was
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Was-was kalau ditakrifkan dalam bahasa mudah membawa maksud keadaan yang keliru, buntu, ragu-ragu dan tidak mempunyai keputusan yang muktamad.

Banyak perkara yang menjadi was-was bila kita tidak cukup ilmu dan pegangan (pengalaman) yang kukuh. Terutama bila melibatkan perkara yang bersangkutan dengan syariah dan muamalat.

Baru-baru ini, saya ditawarkan oleh seorang pegawai bank yang sedang memproses permohonan pinjaman perumahanan untuk rumah yang saya  ingin beli di Kg. Datuk Keramat. Beliau menawarkan sebuah pangsapuri kos rendah di Bandar Baru Ampang dengan harga RM60,000. Penyewa sekarang membayar RM500 untuk sewa bulanan. Memang tawaran yang sangat menarik, kerana harga pasaran pangsapuri di kawasan berkenaan mencecah RM75,000.

Memandangkan rekod kredit saya (CCRIS/CTOS) baik, surat tawaran pinjaman dari “cimbeng islamic” disiapkan tidak sampai sebulan pun. Saya semak jadual bayaran bulanan (RM307 tahun pertama, RM426 tahun kedua dan RM467 tahun ketiga dan seterusnya), terma dan syarat pinjaman lalu saya “sign” surat tawaran tersebut.

2-3 hari selepas itu, kebetulan isteri saya ada temujanji pemeriksaan kandungan (hehehe.. bayi ke 5 kami 🙂 ) di hospital Ampang Puteri, jadi saya ajak beliau untuk tinjau “property” yang saya dapat tu selepas pemeriksaan beliau berakhir. Kami pun menyusuri jalan Ampang untuk ke Bandar Baru Ampang, mencari Apartment Sri Nilam dan bertemu dengan lokasi blok apartment yang kami cari.

Sebaik selamat memakir (park) kereta, kami pun mencari-cari lif untuk naik ke tingkat 11 apartment berkenaan. Keadaan sekeliling saya fikir sama saja di mana-mana apartment kos rendah. Tidak bersih, berbau, dan laluan yang sempit. Alangkah tidak selesa jika kediaman kami sekeluarga di tempat sebegini, bersyukur kehadrat Ilahi kerana dengan limpah rezeki dan rahmatnya, kami dapat tinggal di tempat yang lebih selesa dan teratur.

Dipendekkan cerita, akhirnya kami berjumpa juga dengan apartment yang dicari. Nampak bersih di luar, jeriji besi telah siap terpasang. Usia apartment ni, lebih kurang 6 tahun, jadi masih baik keadaannya. Memandangkan tiada penghuni ketika itu (waktu bekerja), jadi isteri saya bertanyakan jiran sebelah yang kebetulan sedang memasak. Kami bertanya adakah penyewa di situ? sebab nampak tiada kasut atau selipar di luar rumah. Jiran tersebut tidak pasti sebab setahu beliau, rumah tersebut tiada penghuni. Terus perasaan saya mula risau. Mengikut maklumat yang diberitahu oleh pegawai bank yang menawarkan rumah berkenaan, telah ada penyewa yang membayar RM500 sebulan di rumah berkenaan. Itu yang membuatkan saya berminat.

Saya segera menghubungi pemilik apartment berkenaan untuk mengetahui situasi sebenar. Rupa-rupanya, apartment beliau disewa oleh sebuah pemaju projek perumahan (katanya) sejak dari awal mendapat kunci lagi. Sewa bulanan sekitar RM400 sahaja, ditolak dengan kos penyelenggaraan apartment, dapatlah sekitar RM350 sebulan. Sekali lagi, hati saya berasa was-was untuk meneruskan niat membeli apartment ini. Apa tidaknya, bayaran bulanan bermula tahun ketiga pinjaman perumahan nanti dalam RM470 sebulan. Jika dapat naikkan sewa selepas 2 tahun sekalipun, saya tak fikir boleh dapat untung. Biasalah, pinjaman islamik kadar keuntungan yang ditetapkan oleh bank lebih tinggi berbanding pinjaman konvensional.

Balik dari tinjauan lokasi, saya dan isteri memutuskan untuk menolak tawaran tersebut walaupun “offer letter loan” telahpun saya perolehi. Mungkin bukan rezeki kami kali ini. Saya telahpun memberitahu rakan-rakan lain yang berminat, kalau-kalau mereka ingin membuat pelaburan. Ada orang yang sanggup simpan sementara aset seperti ini dan akan dijual semula beberapa tahun akan datang dengan harga yang lebih tinggi. Saya tak sanggup tunggu selama itu. Jenis pelaburan yang saya cari ialah mempunyai pulangan segera yang halal 🙂

Terima Kasih