Rumah Wan dan Ayah

      Comments Off on Rumah Wan dan Ayah
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Alhamdulillah, rumah ayah dan emak saya di Kuantan telahpun siap setelah projek ubahsuai dilakukan sejak Ogos 2008.

Ahad lepas, saya sempat balik sekejap untuk tinjau rumah tersebut. Memang puas hati dan selesa. Kalau dulu bila tiba musim cuti sekolah atau cuti perayaan, adik-beradik saya yang 9 orang mesti pening kepala macam mana nak susun tempat tidur. Tambahan pulak 6 orang telahpun berkeluarga dan mempunyai purata anak-anak seramai 3 orang atau lebih.

Usul untuk mengubahsuai rumah ayah saya diutarakan selepas mereka berdua kembali dari mengerjakan haji tahun lepas. Setelah sepakat, kami sekeluarga bersetuju untuk berkongsi kos pengubahsuaian tersebut.

Saya dapat lihat dan rasakan bagaimana terharunya ayah dan emak saya bila melihat “rumah baru” mereka siap akhirnya. Sejak sekian lama, mereka mengimpikan kediaman yang selesa untuk seluruh anak dan cucu mereka berkumpul bila balik kampung. 1 Mac 2009, impian mereka tercapai, alhamdulillah.

Harapan saya, agar mereka berdua terus dikurniakan Allah kesihatan yang baik serta dapat meneruskan amal ibadah yang sempurna kehadrat Allah. Cuma saya kasihan, hanya tinggal mereka berdua saja di rumah tersebut. Mesti sunyi tinggal berdua, menanti anak-anak dan cucu-cucu balik sekali sekala waktu cuti.

Hmmm.. itulah hakikat kehidupan. Masa kecik, anak-anak disuruh belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai cita-cita berjaya dalam hidup. Bila dah habis belajar, anak-anak akan merantau mencari rezeki. Ibu bapa yang tua ditinggalkan keseorangan di rumah. Justeru, dah jadi tanggungjawab kita sebagai anak-anak, baliklah jenguk dan bermesra dengan ibu bapa walau sesibuk manapun kita bekerja. Tak sama dapat cium tangan dan dahi mak/ayah dengan mencium duit ringgit yang kita kejar setiap bulan.

Terima Kasih