Minat Melabur Dalam Diri dan Keluarga

      Comments Off on Minat Melabur Dalam Diri dan Keluarga
Share this..

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera Tuan/Puan

Dah macam iklan Amanah Saham Nasional (ASN) masa aku kecik-kecik dulu pulak tajuk posting ni hehe. Sapa ingat iklan tu? yang budak kecik tu tanya ayah dia (arwah Ahmad Merbawi) lepas tengok bapak dia buat dek je bila van kaunter bergerak ASN datang ke kampung mereka.

Budak tu tanya, “ayah tak melabur?”. Ayah dia menung sejenak (mungkin sebab dia fikir, ada faedah ke melabur ni), lepas tarik nafas dalam-dalam baru dia jawab “Nak, kau belajarlah rajin-rajin, sampai masuk Universiti, ayah akan melabur, dan terus melabur demi masa depan kita” huhuhu.. ingat lagi aku skrip dia yop.

Apa signifikan iklan lama tu dalam hidup kita seharian? banyak tuan-tuan untuk kita sama-sama renung dan ambil pengajaran. Pertamanya, bila sebut pasal melabur ni, keuntungan yang bakal diperolehi biasa ada 3 fasa. Jangka pendek, jangka sederhana dan jangka panjang. Ikut jenis pelaburan yang kita masuk, ada yang bagi pulangan yang sedikit walaupun jangka masanya panjang, ada juga yang bagi pulangan yang tinggi meskipun dalam jangka masa yang pendek.

Setiap pelaburan ada risikonya tersendiri. Biasanya, kita boleh dapatkan maklumat lengkap tentang jenis pelaburan dan cara ianya diuruskan menerusi prospektus atau risalah yang disediakan oleh mereka yang menganjurkan plan pelaburan berkenaan. Itu kalau jenis pelaburan berdaftar dengan kerajaan lah.

Ada jugak pelaburan yang tak berdaftar secara terus, tapi masih sah disisi undang-undang, contohnya kita melabur dalam koperasi. Koperasi berdaftar dengan Suruhanjaya Koperasi yang dipantau oleh kerajaan, tetapi aktiviti pelaburan koperasi tu ada macam-macam. Jadi portfolio pelaburan kita bergantung kepada aktiviti pelaburan yang dijalankan oleh koperasi berkenaan, bukan secara terus macam kita beli pegangan dalam Unit Trust atau unit saham amanah lain yang mana kita ada rekod dan sijil bertulis atas nama kita.

Pendek kata, kita melabur ni sebab kita nak kembangkan duit dan aset kita agar membiak jadi lebih banyak. Satu hari nanti, modal atau aset ni boleh digunakan untuk tujuan lain contohnya bila tiba waktu persaraan (pencen), menampung kos pendidikan tinggi anak-anak, membeli rumah idaman, kos rawatan dan perubatan, mengembangkan perniagaan dan macam-macam lagi objektif yang boleh dibuat.

Bila kita ada kesedaran untuk meningkatkan taraf kehidupan kita di masa hadapan, kita patut terapkan juga minat melabur ni kepada anak-anak dan ahli keluarga yang lain. Setidak-tidaknya, ajar anak-anak untuk menabung dan menyimpan wang tabungan yang dikumpul itu di bank atau tabung haji. InsyaAllah, mereka pasti berasa seronok melihat jumlah wang simpanan mereka semakin bertambah dari tahun ke tahun.

Dari situ, kita didik pula mereka tentang jenis-jenis portfolio pelaburan yang sesuai dengan usia dan risiko yang boleh mereka ambil. Contohnya, untuk anak-anak yang dibawah umur 18 tahun, mungkin kita boleh dedahkan kepada tabungan dan insurans pendidikan. Manakala anak-anak atau ahli keluarga yang telah dewasa, kita boleh dedahkan kepada pelaburan saham amanah, pelaburan emas/perak (bullion), insurans, hartanah dan perniagaan.

Mungkin juga, jika mereka berminat untuk belajar cara menguruskan risiko, dedahkan mereka kepada pengetahuan tentang pasaran saham. Ajar mereka (atau carikan seminar atau kursus) tentang membuat analisa teknikal, memahami fundamental news dan trend pasaran saham mengikut petunjuk-petunjuk yang kerap digunakan oleh pelabur yang berjaya.

Ringkasnya, pengetahuan tentang kepentingan pelaburan sepatutnya menjadi salah satu agenda pengisian dalam kita membentuk ahli keluarga kita untuk berjaya di masa hadapan. Pendedahan dari awal dapat memberikan idea dan semangat untuk mereka lebih bersedia untuk memasuki bidang pekerjaan kelak.

Mungkin juga, mereka tidak perlu lagi risau untuk kerja makan gaji jika kesemua portfolio pelaburan mereka yang dirancang dan dijalankan sejak kecil sudah ada di depan mata menanti untuk diuruskan dengan lebih sistematik.

Terima Kasih